Bolehkah Jamaah Islam Dipimpin Bukan Islam?

Dalil larangan syara’ terhadap perlantikan orang bukan Islam dalam kepimpinan jamaah Islam atau ahli mesyuarat utama dan tetap.

1. Larangan mengambil “Bithanah” dari kalangan orang bukan Islam.

Firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bithanah (teman kepercayaanmu) dari orang-orang yang bukan dari kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya”.

(Ali Imran: 118)

Apa makna Bithanah dalam ayat di atas? Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman, bithanah diterjemahkan sebagai “orang dalam” (yang dipercayai).

Menurut Tafsir al-Jalalain; Bithanah ialah; orang-orang terpilih yang didedahkan rahsia kaum muslimin kepada mereka.

Menurut Imam ar-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradaat; “Bithanatan” maknanya; “Orang-orang yang (mempunyai kedudukan) khusus bagi kamu di mana ia mengetahui secara dalaman urusan-urusan kamu”.

Berdasarkan huraian Said Hawa, termasuk juga dalam pengertian Bithanah ialah; al-istisyarah (iaitu meminta pandangan atau pendapat), al-Istinshah(iaitu meminta nasihat), menjadi penyimpan rahsia dan teman rapat”.

Adapun pengertian “min dunikum” (orang-orang yang bukan dari kalangan kamu), menurut Imam Ibnu Kathir; “orang-orang dari agama selain kamu (yakni orang-orang bukan Islam)”.

Menurut Tafsir al-Jalalain; “Orang-orang yang bukan dari kamu (kaum muslimin) iaitu Yahudi, Nasara dan munafik”.
Lebih jelas, Syeikh Said Hawa menerangkan dalam al-Asas fi at-Tafsir; Firman Allah “Min Dunikum” termasuk dalam pengertiannya sekelian penganut agama-agama (selain Islam), orang-orang mulhid dan munafik, serta juga orang yang tergolong dalam ucapan Rasulullah “Laisa minna” (bukan dari kalangan kami)…..

Beliau menjelaskan lagi; “Maksud pertama bagi yang demikian itu (yakni “orang-orang yang bukan dari kalangan kamu” )ialah orang-orang kafir ahli Kitab (yakni Yahudi dan Nasara). Jika begitu, maka orang-orang kafir lainnya sudah tentunya lebih utama untuk kita berhati-hati dan (lagipun) tegahan dalam ayat tersebut adalah bersifat umum.

Maka asas tegahan tersebut ialah ketidakharusan mengambil bithanah dari orang-orang yang bukan dari kalangan kita dan termasuk di dalam pengertiannya orang-orang kafir sekeliannya sama ada ahli kitab (yakni Yahudi dan Nasara), orang-orang Musyrikin, mulhid serta orang-orang munafik kerana mereka bukan dari kalangan kita….

dan sebagai ihtiyat (*yakni mengambil pendirian yang lebih berhati-hati) kita memasukkan juga dalam pengertiannya orang-orang orang yang dinafikan oleh Rasulullah bahawa ia tergolong dari kalangan kita (yakni kaum muslimin) seperti sabda baginda;

“Sesiapa yang menipu kami maka ia bukan dari kami”

“Sesiapa yang berpaling dari sunnahku, ia bukan dari kalanganku”

“Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”.

“Bukan dari kalangan kami seorang yang mengajak kepada ‘Asabiyyah, bukan dari kalangan kami seorang yang berperang di atas dasar ‘Asabiyyah”.

Beliau (yakni Syeikh Said Hawa) menegaskan; “Orang-orang seumpama mereka hendaklah kita berhati-hati/berjaga-jaga. Maka janganlah kita menjadikan mereka orang-orang yang khusus bagi kita dan janganlah kita mendedahkan rahsia-rahsia kita kepada mereka, mendedahkan kejelikan/keburukan kita (yakni menceritakan masalah-masalah dalaman), menceritakan perancangan-perancangan kita dan bermesyuarat dengan mereka dalam masalah-masalah kita…”

2. Larangan memberikan wala’ kepada orang bukan Islam.

Allah tidak melarang kaum muslimin untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam sebagaimana firmanNya;
Namun wala’ tidak diizinkan Allah untuk diberikan melainkan kepada orang mukmin sahaja. Berbuat baik kepada orang bukan Islam dan berlaku adil kepada mereka tidak harus dicampur adukkan dengan wala’. Al-Birr wa al-Adl adalah hak untuk semua manusia tanpa mengira agama dan pegangan hidup. Adapun wala’ hanya khusus untuk orang yang seaqidah sahaja.

Apa maksud wala’? Dan apa yang terkandung dalam skop wala’?

Di antara ayat Allah yang menyentuh tentang wala’ ialah;

“Janganlah orang-orang mu’min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu’min. Barangsiapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu)”.

(Ali Imran: 28)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu’min. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?”.

(an-Nisa’: 144)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil untuk menjadi wali-wali kamu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (yaitu) di antara orang-orang yang telah diberi Kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman”.

(al-Maidah; 57).

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”.

(al-Anfal: 72)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma`ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka ta`at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

(at-Taubah: 71)

Ayat-ayat di atas menegas satu perkara kepada kita iaitu; larangan menjadikan orang-orang bukan Islam sama ada ahli Kitab (yakni orang-orang Yahudi dan Nasara/Kristian) atau penganut-penganut agama lainnya sebagai wali-wali kita, atau dalam pengertian yang lain, dilarang kita memberi wala’ kita kepada mereka.

Maksud wali secara amnya ialah rakan atau teman khusus yang dipercayai, diberi kesetiaan, diserahkan urusan dan kepimpinan, diambil pandangan atau pendapatnya, diamanahkan menjaga rahsia, diberi pertolongan (tatkala ia memerlukannya) dan dipohon pertolongan darinya (tatkala diperlukan bantuan darinya). Rakan atau teman khusus ini paling utama difahami dalam konteks perjuangan dan jihad kerana ia memiliki implikasi langsung dengan Islam dan masa depan umat Islam.

Syeikh Muhammad as-Shobuni dalam tafsirnya Sofwatu at-Tafasir menghuraikan wala’ kepada orang kafir dengan makna; “Memberi pertolongan kepada mereka, meminta pertolongan dari mereka, bersama-sama mereka dalam saf/barisan dan bergaul-rapat dengan mereka sebagaimana pergaulan dengan kaum muslimin”.

Menurut Syeikh Musthafa al-Khairi; “Terkandung juga dalam makna memberi al-Wala’ kepada orang kafir ialah meminta pertolongan dari mereka dalam peperangan. Sebahagian ulama’ mengharuskannya jika ada keperluan dan diyakini kejujuran mereka…”.

Dalam tafsir al-Qurthubi, Imam al-Qurthubi menaqalkan dari Ibnu Khuwaiz Mindad yang menyatakan; “Ayat ini (*yakni ayat 57 dari surah al-Maidah) sama seperti firman Allah dalam surah al-Maidah (ayat 51) dan Ali Imran (ayat 118) yang terkandung di dalamnya tegahan at-ta’yiid (yakni menguatkan pasukan) dan al-isti’anah (yakni memohon pertolongan/bantuan) dengan orang-orang Musyrikin dan yang seumpama mereka (yakni orang-orang bukan Islam).

Diriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan; “Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak keluar ke peperangan Uhud, datang satu kumpulan orang Yahudi dan berkata; ‘Kami ingin keluar berperang bersama kamu’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab;

“Sesungguhnya kami tidak akan meminta pertolongan dalam urusan kami dari orang-orang Musyrikin”.

Dan lebih tegas lagi, ada sebahagian ulama’ memasukkan juga dalam pengertian memberi wala’ kepada orang kafir; memberi jawatan kepada mereka dalam bidang/skop yang sepatutnya diisi oleh orang Islam seperti mengambil mereka untuk bekerja atau berkhidmat di dewan-dewan (yang merekod dan menjaga maklumat-maklumat dan rahsia Negara).

Hujjah mereka ialah riwayat yang menceritakan celaan Umar terhadap gabenornya di Yaman iaitu Abu Musa al-Asy’ari yang mengambil seorang bukan Islam sebagai pencatat (bagi urusan yang bersangkutan kaum muslimin) dan ia mengarahkan Abu Musa supaya memecatnya. (Sila baca riwayat ini di depan nanti bawah tajuk; Tegahan para sahabat
Sebagai penjelasan akhir bagi wala’ ini, kita memetik ulasan Asy-Syahid Syed Qutb dalam kitab tafsirnya yang terkenal “Fi Dzilalil-Quran”;

“Islam tidak menegah orang Islam untuk bermu’amalah (yakni berinteraksi) secara baik dengan orang yang tidak memeranginya kerana agama sekalipun orang itu tidak seagama dengannya. Akan tetapi wala’ adalah suatu yang lain dari bermu’amalah dengan baik itu.

Wala’ adalah irtibath (keterikatan), tanashur (saling bantu-membantu) dan tawaaddu (saling kasih-mengasihi). Wala’ ini tidak wujud dalam hati seorang yang benar-benar beriman kepada Allah melainkan untuk diberikan kepada orang-orang beriman yang mempunyai ikatan dengannya kerana Allah, yang tunduk bersamanya kepada manhaj Allah dalam kehidupan dan yang berhukum kepada kitabNya dengan penuh taat, patuh dan berserah”.

(Fi Dzilalil-Quran, Jil. 1, hlm. 387 (Surah Ali Imran, ayat 28))

3. Larangan Nabi dari melibatkan orang bukan Islam dalam permesyuaratan yang khusus berkait dengan maslahah agama dan kaum muslimin.

Sabda Nabi s.a.w.;

“Janganlah kamu menumpang cahaya orang-orang Musyrik” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai dari Anas r.a.).

Menurut Imam Ibnu al-Athir dalam kitabnya an-Nihayah fi Gharibil-Hadith; maksud hadis ini ialah;

“Yakni; janganlah kamu bermesyuarat dengan mereka dan janganlah mengambil pandangan-pandangan mereka. Rasulullah menjadikan cahaya sebagai misalan bagi pandangan/pendapat …”.

Menurut Imam al-Hasan al-Basri, maksud hadis tersebut ialah; “Janganlah kamu bermesyuarat dengan orang-orang musyrikin dalam urusan-urusan kamu”. Dalil bagi tafsiran ini menurut beliau ialah firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bithanah (teman kepercayaanmu) dari orang-orang yang bukan dari kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya”. (Ali Imran: 118)

4. Keengganan Rasulullah s.a.w. untuk menerima penyertaan orang kafir dalam saf jihad.

Terdapat riwayat-riwayat hadis menceritakan Rasulullah s.a.w. menolak orang kafir dari menyertai jihad/peperangan bersama pasukan baginda meskipun ketika dalam keadaan gawat (seperti dalam peperangan Badar, Uhud dan Ahzab di mana bilangan tentera Islam amat sedikit). Antara riwayat yang dapat kita kemukakan di sini;

1. Imam Muslim meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

“Semasa Rasulullah sedang berjalan bersama tentera Islam menuju ke Badar, ketika sampai di Harratil-Wabarah seorang lelaki datang menemui baginda. Lelaki itu dikenali sebagai seorang yang kuat dan berani menyebabkan para sahabat berasa gembira apabila melihat kedatangannya.

Lelaki itu berkata kepada Rasulullah; “Aku datang untuk menyertaimu dan memperolehi habuan rampasan perang bersamamu”. Lalu baginda bertanya kepadanya;

“Adakah kamu beriman dengan Allah dan RasulNya”. 

Ia menjawab; “Tidak”.

Rasulullah lalu berkata kepadanya;

“Pulanglah. Sesungguhnya aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan dari seorang musyrik”. 

Saidatina Aisyah r.a. menceritakan lagi; “Kemudian Rasulullah meneruskan perjalanannya, hinggalah tatkala kami singgah berhampiran sebuah pokok, lelaki itu datang lagi dan meminta seperti tadi.

Rasulullah juga menjawab sebagaimana tadi;

“Pulanglah! Aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan dari seorang musyrik”. 

Rasulullah meneruskan lagi perjalanannnya hingga sampai di al-Baida’. Di situ lelaki tersebut datang lagi dan mengulangi permohonannnya itu. Rasulullah bertanya sekali lagi kepadanya;

“Adakah kamu beriman kepada Allah dan RasulNya”. 

Kali ini ia menjawab; “Ya (saya telah beriman)”.

Lalu Rasulullah berkata kepadanya:

“Ayuh! Bergeraklah (bersama kami)”.

(Lihat; Soheh Muslim, Kitab al-Jihad wa as-Siyar, bab Karahati al-Isti’anah fi al-Ghazwi bi kafirin)

2. Diriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan;

“Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak keluar ke peperangan Uhud, datang satu kumpulan orang Yahudi dan berkata; ‘Kami ingin keluar berperang bersama kamu’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab;

“Sesungguhnya kami tidak akan meminta pertolongan dalam urusan kami dari orang-orang Musyrikin”.

(Lihat Riwayat ini dalam; Tafsir al-Qurthub, surah al-Maidah, ayat 57).

3. Ibnu Abbas r.a. menceritakan; seorang sahabat iaitu ‘Ubadah bin as-Shomit r.a. mempunyai rakan-rakan dari kalangan orang Yahudi. Semasa peperangan Ahzab, beliau (yakni Ubadah) berkata kepada Nabi s.a.w.; “Wahai Nabi Allah, saya mempunyai rakan-rakan dari orang Yahudi seramai 500 orang dan saya merasakan perlu untuk mengajak mereka keluar bersama saya untuk memerangi musuh. Lalu Allah menurunkan ayat;

“Janganlah orang-orang mu’min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu’min”.

(Ali Imran: 28)

(Rujuk riwayat ini dalam Tafsir al-Qurthubi dan juga Rawai’ul Bayan, Syeikh Muhammad Ali as-Shobuni, jil. 1, hlm. 440).

Perhatikan; jika untuk menjadi tentera biasa telahpun ditolak atau dilarang oleh Nabi, maka bagaimana untuk mengambil mereka (yakni orang-orang bukan Islam) bagi mengisi barisan kepimpinan? Sudah tentu ianya lebih dilarang oleh baginda.

5. Tegahan para sahabat terhadap perlantikan orang bukan Islam untuk jawatan yang berkait urusan kaum muslimin.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, terdapat riwayat dari Ibnu Abi Dahqanah yang menceritakan; pada zaman Umar r.a., terdapat seorang budak lelaki dari al-Hirah yang memiliki kepandaian menulis, namun ia tidak Islam. Lalu dicadangkan kepada Umar supaya mengambilnya sebagai penulis Negara. Namun umar menjawab; “Jika aku mengambilnya bermakna aku mengambil orang kepercayaan bukan dari kalangan orang-orang beriman”.

Ibnu Kathir mengulas; Athar dari Saidina Umar ini berserta ayat di atas menjadi dalil bahawa tidak harus mengambil ahli zimmah (yakni orang bukan Islam yang menjadi warganegara daulah Islam) untuk bekerja atau bertugas (sebagai pencatat/penulis atau sebagainya) dalam hal-hal dalaman kaum muslimin kerana dibimbangi mereka akan mendedahnya kepada musuh-musuh Islam. Kerana itu Allah berfirman;

“…mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu”.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari ‘Iyadh yang menceritakan bahawa Abu Musa al-Asy’ari melantik seorang Nasrani sebagai pencatatnya. Pada suatu hari, atas suatu urusan ia membawa pencatatnya itu berjumpa Umar. Melihat kebolehan pencatat tersebut, Umar berasa takjub dengannya, lalu Umar memintanya untuk membaca suatu surat yang datang dari Syam yang berada di dalam masjid. Namun Abu Musa menjawab; ‘Ia tidak boleh memasuki masjid (wahai Umar)’. Umar bertanya; ‘Apakah ia berjunub?’. Jawab Abu Musa; ‘Bukan, tetapi kerana ia seorang Nasrani’. Umar lalu memarahi Abu Musa dan menampar pahanya. Kemudian Umar membaca firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali-wali kamu”.

(al-Maidah: 51)

(Lihat riwayat ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Maidah, ayat 51).

AMALAN RASULULLAH S.A.W. DALAM PENGLIBATAN KERJASAMA DAN PAKATAN DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Menolak perlantikan orang bukan Islam untuk jawatan dalam kepimpinan tertinggi Jamaah tidak bermakna kita menentang segala bentuk pakatan atau kerjasama dengan orang bukan Islam. Jika kita membaca Sirah Nabi –khusus berkenaan interaksi baginda dengan orang bukan Islam- kita akan perhatikan; dalam aspek-aspek tertentu baginda amat bertegas menolak penglibatan orang bukan Islam (iaitu aspek yang berkait dengan bithanah, wala’ dan sebagainya tadi), namun dalam aspek-aspek lain pula baginda menerima penglibatan mereka, antara contoh yang boleh kita sebutkan ialah;

1. Hilful Fudhul.

Nabi pernah bersabda;

“Aku pernah menyaksikan suatu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an yang seandainya sekarang ini (yakni di masa Islam) jika aku diajak untuk ikut serta dalam perjanjian tersebut pasti aku akan ikut. Mereka berjanji untuk mengembalikan semua hak orang yang teraniaya kepada pemiliknya agar orang yang zalim tidak dapat berbuat sewenang-wenangnya kepada orang lemah”

(Riwayat Imam al-Humaidi dalam

Dalam riwayat yang dicatatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra, lafaznya;

“Sesungguhnya aku pernah menyaksikan satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Ia lebih aku suka dari unta merah. Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya”

(as-Sunan al-Kubra, Imam al-Baihaqi, hadis no. 13461. Riwayat ini dikemukakan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya; al-Ahkam al-Sultaniyah).

Perjanjian di atas dikenali dengan Hilful-Fudhul iaitu satu persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin dari pelbagai Kabilah Quraiysh yang berpengaruh di Mekah untuk menuntut hak dan keadilan bagi orang-orang yang ditindas di Mekah.

Perjanjian tersebut berlaku 20 tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul, iaitu pada zaman Jahiliyah. Perhatikan, bagaimana Rasulullah berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitu keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.

2. Piagam Madinah; Kontrak Sosial.

Di antara yang pernah dilakukan oleh Nabi ialah mengadakan Mitsaq al-Madinah (Piagam/Perjanjian Madinah) sebaik baginda tiba di Madinah selepas hijrahnya. Perjanjian/Piagam ini tidak hanya membabitkan orang Islam (Ansar dan Muhajirin), tetapi juga membabitkan orang-orang bukan Islam yang tinggal di Madinah (khususnya golongan Yahudi). Di antara nas yang terkandung dalam piagam tersebut;

“Bahawa orang Yahudi yang menyertai kita mereka mendapat pertolongan dan bimbingan tanpa dizalimi dan tidak boleh ada pakatan yang tidak baik terhadap mereka”

(nas ke 16. Rujukan; Fiqh al-Harakah, Tn Guru Hj Abdul Hadi, jilid 2, halaman 23).

“Bahawa kaum-kaum Yahudi (dari bani Auf, Bani an-Najjar dan sebagainya) adalah satu umat (warganegara) bersama-sama kaum mukminin. Bagi mereka kebebasan menganut agama mereka dan bagi kaum muslimin agama mereka sendiri. Hak ini meliputi orang-orang yang bersekutu dengan mereka dan untuk diri mereka sendiri, kecuali terhadap orang yang berbuat zalim dan melakukan dosa, maka akibat perbuatannya tidak menimpa melainkan dirinya sendiri dan keluarganya”

(nas ke 25, kitab yang sama, halaman 23).

3. Nabi menerima perlindungan dari orang bukan Islam.

Kisah yang masyhur ialah; Nabi menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Thalib yang tidak pernah masuk Islam, memerintahkan golongan mustadh’afin berhijrah ke Habsyah untuk berlindung di bawah pemerintah Najasyi (seorang raja Kristian yang belum memeluk Islam ketika itu, tetapi terkenal dengan sikap adilnya), baginda menerima perlindungan Mat’am bin ‘Adiy ketika pulang dari Taif dan baginda mengizinkan Abu Bakar untuk menerima perlindungan yang ditawarkan oleh Ibnu Daghnah (seorang pemimpin Mekah yang bersimpati dengan Abu Bakar, tetapi tidak memeluk Islam).

(Rujuk; Fiqh al-Harakah, Tn Guru Hj Hadi, jilid 1, halaman 142-145).

4. Mengadakan perjanjian Hudaibiyah dengan Musyrikin Quraiysh.

Berlaku pada tahun ke 6 hijrah (bulan Dzul Qaedah); perjanjian perdamaian di antara Rasulullah dan Quraiysh Mekah. Antara isi utama perjanjian ialah; gencatan senjata selama 10 tahun

(Rujuk; Fiqh al-Harakah, Tn Guru Hj Hadi, jilid 2, halaman 240).

5. Nabi menjalankan mu’amalah dengan orang bukan Islam.

Telah sabit dengan nas yang soheh bahawa Nabi pernah melakukan hal berikut;

a) Menerima hadiah dari orang bukan Islam
b) Meminjam wang dari orang bukan Islam dengan menggadaikan baju besinya.
c) Menziarahi orang bukan Islam yang sakit.
d) Bangun menghormati jenazah orang bukan Islam yang dibawa lalu di hadapannya.

6. Saranan al-Quran dan as-Sunnah supaya kaum muslimin berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam dan memelihara hak mereka.

“Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam”

(al-Anbiya’, ayat 107).

“Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

(Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Dan jika mereka berdua (yakni ibu dan bapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”

(Surah Luqman, ayat 15)

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’ )bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab;

“Ikatlah hubungan dengannya”.

(HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

CADANGAN

Melihat kepada amalan Rasulullah di atas, saya mencadangkan;

1. Aspek-aspek dalam jamaah yang ada kaitan dengan persoalan bithanah dan wala’ (antaranya soal kepimpinan tertinggi, ahli permesyuaratan atau majlis Syura, keanggotaan jamaah, dalam menentukan halatuju jamaah dan sebagainya) tidak perlu dilibatkan orang bukan Islam. Ia hendaklah khusus kepada orang beriman sahaja sebagai mengambil contoh dan tauladan dari amalan Nabi tadi.

2. Aspek-aspek yang membabitkan hak rakyat, keadilan, kesamarataan, membenteras penyelewengan, mencari alternative pemerintahan terbaik dan sebagainya; inilah ruang yang terbuka luas untuk kita mengadakan kerjasama dan pakatan dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak dan keadilan termasuk dengan orang bukan Islam selagi tidak melanggar batasan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah).

3. Kesimpulannya; tidak usahlah kita membuka kepimpinan Jamaah kepada orang bukan Islam kerana ia bercanggah dengan ayat-ayat wala’ dan bithanah tadi, sebaliknya kita mengeratkan kerjasama dan pakatan dengan mereka dalam mewujudkan amalan politik dan pemerintahan yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia.

Jamaah dan kepimpinan Islam haruslah 100% berjiwa dan berwajah Islam (dalaman dan luarannya) dan pada masa yang sama ia membuka ruang ta’awun (kerjasama) dan tahaluf (pakatan) yang seluas-luasnya dengan siapa sahaja yang memperjuangkan keadilan selagi tidak melanggari Syariat.

* Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat

** Dipetik dari artikel “Timbalan Presiden Bukan Islam”

Posted in AGAMA | Tagged | Leave a comment

Mengapa Suami Bermalasan Di Rumah

Dalam tubuh lelaki terdapat hormone kelakian, testosterone yang penting dalam kehidupan mereka sebagai seorang lelaki.

Hormon ini bukan saja penting bagi meyemarakkan syahwatnya sebagai lelaki,tetapi yang lebih penting, hormone testosterone akan memberikan rasa untuk terus berjuang, untuk bersaing,menjadi kreatif, menjadi lebih pintar dan matang dan mampu melakukan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai seorang suami.

Homone testosterone juga akan mempengaruhi mental lelaki dengan mengurangkan rasa stress. Lelaki yang stress akibat kekurangan hormone testrosterone bukan saja tidak mempunyai nafsu syahwat terhadap isterinya,malah beliau mungkin tidak mempunyai rasa untuk berjuang, bekerja dengan lebih baik untuk keluarganya,tidak kreatif dan tidak mampu menjalankan tugas sebagai suami dan ketua keluarga,

Oleh itu jika isteri perasan, suami yang bersemangat dan bersyahwat dalamkamar tidur adalah yang bersemangat melakukan kerja-kerjanya di luar rumah. Lelaki yang bersungguh-sungguh di luar rumah juga merupakan lelaki yang bertanggungjawab di dalam rumah.

Hormone testosterone mempunyai kitaran tersendiri. Kepekatan hormone testosterone tinggi di awal pagi dan semakin menurun menjelang petang. Oleh itu jangan terperanjat jika di awal pagi suami mudah mendapat penile erection. Kekerasan zakar itu disebabkan oleh hormone testosteroneyang semakin meningkat dalam tubuhnya.

Selain itu ramai lelaki yang menjadi letih bila memasuki waktu senja. Ini bukan sebab pengaruh jin, tetapi hormonenya semakin menurun.Jadi suami selalunya tidak bertenaga untuk melakukan kerja-kerja rumah apabila balik rumah.

Apatah lagi jika banyak kerja-kerja yang memerlukan tenaga fizikal dan mental di tempat kerja. Jadi janganlah menganggap suami malas dan tidak membantu.

Walaupun ia adalah suatu tindakan yang tidak wajar, isteri kena faham kitaran hormone ini. Jika tidak ini akan menyebabkan ketegangan dalam keluarga. Suami akan bertambah stress dan menyebabkan hormonenya menjadi menurun, dan tidak lagi bermaya di dalam kamar tidur.

Apatah lagi jika isteri bermasam muka ketika mengkritik tindakan suami yang kepenatan. Harus difahami, kepekatan testosterone akan meningkat jika dia merasakan bahawa dia puas dan berjaya melakukan kerja dengan sempurna.

Suami akan rasa puas apabila merasakan dia adalah seorang suami yang hebat dan melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan dengan baik.

Jadi cuba fikirkan apa akan jadi jika suami melihat muka isteri yang masam sedang membebel ketika dia sedang berehat pulang dari kerja. Suami akan terus menjadi lebih tertekan akibat hormon testosterone menjadi lebih rendah.

”Abang ni asyik lepak depan TV je. Tak membantu saya langsung. Saya penatlah..”

Kata-kata seperti ini akan membuatkan suami berasa gagal.

Bagaimana isteri boleh membantu suami?

Jika perlukan bantuan melakukan kerja-kerja di dalam rumah, mintalah bantuan dengan senyuman dan pujian. Pujilah suami melambung sebelum meminta bantuannya.

”Abang yang hensem, tolong saya cuci pinggan …”

Suami mana yang tidak cair jika isteri dengan nada yang lembut, menggoda dan memuji dirinya. Tentudia segera akan melompat terus dari sofa dan meluru ke dapur untuk membantu isterinya.

Elakkan muka masam ketika meminta bantuan suami. Muka yang manis akan menaikkan hormone tetstorone suami dan secara tidak langsung akan memberikan ’tenaga ekstra’ pada suami. Lupakan ’tongkah ali’. Senyuman isteri adalah yang terbaik meningkatkan hormone suami, secara tidak langsung akan membantu isteri di rumah.

Allah saja yang lebih tahu.

Posted in Kesihatan | Tagged | Leave a comment

CUEPACS SSM ‘GANTI’ SBPA HANYA INTERIM

logo cuepacs

SHAH ALAM – Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

“Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan SBPA dan penambahbaikan skim SSM dengan pelarasan gaji yang lebih adil.

“KPISM juga bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dan kewajaran untuk mengkaji dan mewujudkan skim khusus bagi semua agensi penguatkuasaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, KPISM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dan mendengar denyutan nadi setiap penjawat awam khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menurut Khairil, KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan sentiasa berbincang dan berhubung rapat dengan Cuepacs dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu di masa hadapan.

“KPISM juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bersedia memberikan gaji minimum kepada semua penjawat awam khususnya penjawat awam di Kumpulan Sokongan agar ia melepasi garis kemiskinan di bandar,” kata beliau lagi

Posted in Cuepacs, KAKITANGAN AWAM/PENJAWAT AWAM | Tagged , , , , , , , , , , , | Leave a comment

CUEPACS anggap isu SBPA selesai | SSM

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam  di Putrajaya, semalam.

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam di Putrajaya, semalam.

Kongres gembira sebahagian besar tuntutan kakitangan awam dipenuhi

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap isu dan polemik mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selesai selepas ia dibatalkan dan penggajian diteruskan mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu melegakan dan menggembirakan lebih 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi. – Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS.

Katanya, kenaikan gaji itu adalah adil dan saksama serta memberi kebaikan kepada semua penjawat awam kerana SBPA membentuk jurang antara kumpulan pengurusan dengan kumpulan utama.

“Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi.

“Kalau nak ikut rasa tidak puas hati sampai bila pun masalah tidak selesai… sekarang kita kena jenamakan semua sikap kerana CUEPACS sentiasa berunding untuk menambahbaik gaji kakitangan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Omar juga gembira kerana kerajaan turut memansuhkan dasar pemisah (exit policy) selari pembatalan dasar SBPA.
Beliau berkata, dengan pelarasan gaji berkenaan, tidak ada lagi kakitangan awam menerima pendapatan kurang daripada gaji minimum swasta yang diumumkan antara RM800 hingga RM1,000 baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, berkata laluan kerjaya yang lebih luas bagi guru memberi manfaat kepada lebih 400,000 golongan itu di seluruh negara.

“Langkah ini menunjukkan golongan pendidik tetap diberikan keutamaan oleh kerajaan kerana guru siswazah (Gred DG41) dan bukan siswazah (DG29) kini tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk naik pangkat atau gred lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) pula meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barang di pasaran selepas pengumuman Perdana Menteri supaya tidak menjejaskan penjawat awam yang menikmati pelarasan gaji serta kenaikan elaun sara hidup.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, berkata selain itu KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sentiasa berbincang serta berhubung rapat dengan CUEPACS dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu pada masa depan.

Posted in Cuepacs, KAKITANGAN AWAM/PENJAWAT AWAM | Tagged , , , , | Leave a comment

Gaji, COLA naik | Pemansuhan SBPA, SSM ditambah baik

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. – Foto Fariz Iswadi Ismail

PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA).Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan.Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

“Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

“Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

“Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global,” katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri

  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.
  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.
  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.
  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip ‘time-based’ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
Posted in Cuepacs, KAKITANGAN AWAM/PENJAWAT AWAM | Tagged , , , , , , , , , , | Leave a comment